SHAH ALAM: Malaysia perlu memperkukuh penguasaan teknologi, keupayaan kejuruteraan serta rantaian bekalan tempatan bagi memastikan industri aeroangkasa negara beralih kepada aktiviti bernilai tinggi, sekali gus meningkatkan daya saing di pasaran global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun industri itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan, penyertaan syarikat Malaysia dalam bidang kejuruteraan maju, reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi proprietari masih terhad.
“Walaupun kita mempunyai kekuatan, penyertaan dalam aktiviti bernilai tambah tinggi seperti kejuruteraan maju, reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan serta teknologi proprietari masih agak terhad,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Kepimpinan Strategik Aeroangkasa 2026 anjuran Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) di sini, hari ini.








