NEW DELHI: Suasana dalam sebuah penerbangan komersial milik syarikat IndiGo yang dalam perjalanan dari New Delhi ke Chennai minggu lalu bertukar panik apabila sebuah peranti pengecas mudah alih atau ‘power bank’ dilaporkan terbakar di dalam ruang bagasi atas kepala.

Ia sekali gus memaksa pesawat berkenaan melakukan pendaratan cemas di Hyderabad.

Rakaman video yang dirakam oleh salah seorang penumpang memaparkan api menyambar ke ruang penyimpanan di atas tempat duduk ketika penumpang yang cemas bergegas mengawal kebakaran tersebut.

Menerusi rakaman berkenaan, beberapa penumpang kelihatan berdiri di ruang laluan kabin sambil cuba memadamkan nyalaan api dengan mengetuk bahagian yang terbakar menggunakan beg tangan mereka secara berulang kali.