PETALING JAYA: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa berkaitan memberikan kejelasan berhubung kuota dan garis masa pelantikan pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap.
Presiden MPS, Profesor Amrahi Buang berkata, langkah tersebut penting susulan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang memaklumkan KKM akan mengesyorkan penyerapan pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap.
Menurut beliau, MPS menyambut baik penjelasan berkenaan, terutamanya kepastian bahawa pelantikan tetap untuk pegawai farmasi dan pergigian akan diusahakan menerusi kuota baharu yang berasingan daripada 9,000 jawatan tetap pegawai perubatan di bawah Belanjawan 2027.









