Segamat: Hati ibu mana tidak luluh apabila melihat anak yang dilahirkan normal namun kini menderita akibat Cerebral Palsy (CP), masalah tisu otak, gelombang kepala tidak sekata dan komplikasi buah pinggang.

Bukan mudah untuk menerima hakikat itu, malah Nurul Huda Ismail, 33, seakan tidak percaya namun itulah realiti perlu diterimanya dan suami, Mohd Alif Ikuwan Zulkeply, 32, terhadap takdir anak sulung mereka, Nur Aulia Nafisah, 4, atau Aulia.

Menceritakan kisah itu, Nurul Huda berkata, CP dan masalah tisu otak dikesan ketika Aulia berumur dua tahun manakala gelombang kepala tidak sekata dan komplikasi buah pinggang didiagnos April lalu.

Lebih menyedihkan apabila Aulia disahkan berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas tidak boleh berjalan dan hilang keupayaan bertutur jadi hanya mampu meronta untuk menzahirkan kesakitannya.