Kuala Lumpur: Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 anjuran bersama McDonald's Malaysia dan Harian Metro menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain bawah 16 tahun, sekali gus menyediakan platform untuk pelapis sepak takraw mengembangkan potensi ke peringkat lebih tinggi.
Pengarang Kanan Sukan Convergence Berita Harian/Harian Metro, Abdul Manan A Samad berkata, kejohanan itu membuka peluang kepada pemain muda dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, untuk menyertai pertandingan yang menawarkan pengalaman berbeza berbanding kejohanan biasa.
Beliau berkata, kerjasama dengan McDonald's Malaysia selaku penaja, selain sokongan rakan teknikal Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), membolehkan kejohanan itu dilaksanakan bagi memberi ruang lebih luas kepada pemain muda.










