Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 29 individu termasuk seorang warga asing, kerana disyaki mempromosi dan menyebarkan dakyah berkaitan pertubuhan haram menerusi platform media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun itu, ditahan menerusi operasi khas Ops Mega TikTok 2026, yang dijalankan bermula 10 hingga 12 Okt.

Beliau berkata operasi memantau aktiviti pertubuhan yang diwartakan haram oleh kerajaan itu, dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Hasil operasi melibatkan 11 kontinjen iaitu Selangor, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Sabah dan Sarawak, sebanyak 28 lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara asing, berjaya ditangkap," katanya dalam kenyataan hari ini.