LANGKAWI: Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilaksanakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) mencatatkan rampasan dan sitaan bernilai RM388 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata operasi dari Januari hingga September lalu itu merekodkan 353 kes dan menyaksikan 489 individu ditahan.

"Siasatan turut mengesan pembabitan warga tempatan yang menjadi dalang dan bersekongkol dengan warga asing dalam kegiatan pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar serta hasil hutan bernilai tinggi.

"Mana orang luar tahu kawasan hutan yang dihuni haiwan liar atau mempunyai tumbuh-tumbuhan berharga," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat OBK di Resorts World Langkawi, di sini hari ini.