KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia mengkaji keperluan pindaan lanjut Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) bagi memperkukuh kuasa Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), khususnya dalam mengawal selia Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata cadangan itu akan diteliti bagi menentukan sama ada peruntukan sedia ada perlu diperkukuh untuk memastikan tadbir urus CMO lebih telus, selain melindungi kepentingan pemegang hak cipta dan pengguna karya.

Beliau berkata, pindaan terdahulu kepada Akta 332 sudah memberikan kuasa yang agak luas kepada Pengawal Hak Cipta, khususnya menerusi Seksyen 27M untuk mengeluarkan garis panduan berkaitan pengoperasian CMO.