PUTRAJAYA: Seorang bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak menjalani hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini selepas Mahkamah Rayuan mengembalikan sabitan dan hukuman penjara itu serta denda RM85,000 atas kesalahan meminta dan menerima rasuah, 11 tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Noorin Badaruddin dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan akhir pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang membebaskan Zaidi Dali, 58.

Noorin yang bersidang bersama-sama Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun dalam penghakimannya, berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membebaskan responden.

Beliau berkata, pihak pendakwaan telah mengemukakan asas yang mencukupi untuk membolehkan mahkamah campur tangan dalam rayuan itu.