KUALA LUMPUR: Beregu campuran muda negara, Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal-Low Zi Yu menepati ramalan apabila melangkah ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Remaja Dunia selepas menewaskan pasangan Kanada, Kyle Yatfung Le-Ying Jian, 15-5, 15-9 di Kaherah, Mesir, hari ini.

Pilihan pertama itu hanya mengambil masa 16 minit untuk mencatat kemenangan pada aksi pusingan kedua di Stadium Antarabangsa Kaherah itu selepas mendapat bye pada pusingan pertama.

Redzuan-Zi Yu yang membantu Malaysia muncul naib juara acara berpasukan campuran Piala Suhandinata, Ahad lalu, akan menentang pasangan Brazil, Klecivan Silva-Laura Roviezzo pada pusingan ketiga.

Gandingan itu hadir dengan reputasi sebagai antara pencabar utama selepas menjuarai Kejohanan Remaja Asia di Yatsushiro, Jepun, Julai lalu, sekali gus menamatkan penantian 19 tahun Malaysia untuk gelaran beregu campuran remaja Asia.