TEL AVIV: Israel mengarahkan sebuah pesawat kargo Ethiopian Airlines yang dalam penerbangan menuju Tel Aviv berpatah balik kerana salah seorang juruterbangnya warga Indonesia, lapor saluran televisyen Channel 12.

Bagaimanapun, menurut Channel 12, pesawat berkenaan sudah berada di udara kira-kira sejam ketika dalam penerbangan dari Addis Ababa dan masih berada di ruang udara Ethiopia ketika arahan itu dikeluarkan.

Saluran televisyen Channel 12 melaporkan bahawa kewarganegaraan juruterbang itu telah dimaklumkan kepada perisikan Israel dan pihak berkuasa lapangan terbang, sekali gus mendorong pegawai keselamatan serta Kementerian Pengangkutan menghalang pesawat itu daripada mendarat.

Menurut laporan itu, Ethiopian Airlines menyifatkan kejadian berkenaan sebagai satu kesilapan dan berkata, syarikat penerbangan itu tidak mengetahui bahawa juruterbang terbabit dilarang mengendalikan penerbangan ke Israel.