KUALA LUMPUR: Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut selepas tercampak dari jejambat pada ketinggian kira-kira lima meter, sebelum menimpa penunggang motosikal di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Jalil ke tempat kerja di Kem Sungai Besi.

Beliau berkata, ketika melalui susur jejambat berhampiran TBS untuk membuat pusingan U, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave, dipercayai hilang kawalan sebelum tercampak ke jalan raya di bawah, manakala motosikalnya tertinggal di atas jejambat.