KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkukuh usaha meningkatkan penguasaan Matematik murid menerusi pelbagai langkah intervensi termasuk pelaksanaan Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia 2026, susulan dapatan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata langkah itu turut merangkumi pengesanan jurang pembelajaran seawal Tahun Satu dan penambahbaikan padanan guru mengikut opsyen bagi memastikan keperluan pembelajaran murid dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, analisis pencapaian PISA menunjukkan cabaran utama murid dalam Matematik bukan sekadar membabitkan kemahiran mengira atau menghafal formula, tetapi juga keupayaan memahami konsep, membuat penaakulan dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi baharu.