Kota Bharu: Keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan suami terhadap isteri, malah boleh berlaku terhadap suami oleh isteri atau ahli keluarga lain, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Che Samsuzuki Che Noh.

Beliau berkata perkara itu perlu dipandang serius kerana keganasan dalam institusi keluarga boleh mengakibatkan kecederaan parah, kematian atau membawa kepada perlakuan jenayah lain sekiranya tidak dibendung.

"Kadangkala, individu yang berdepan tekanan mungkin mencari ruang untuk melepaskan tekanan itu, namun ia tidak sepatutnya dilakukan dengan menggunakan kekerasan terhadap pasangan atau ahli keluarga," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara JKM Negeri Kelantan Tahun 2026, di sini, hari ini.