BANGKOK: Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh dua tahun akan datang menerusi penyatuan fiskal, pembaharuan subsidi bersasar dan penglibatan sektor swasta yang lebih kukuh, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Amir Hamzah berkata, Malaysia telah mengurangkan defisit fiskal daripada 6.4 peratus KDNK kira-kira lima tahun lalu kepada 3.7 peratus pada tahun lalu, sekali gus meletakkan negara di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran tersebut.

Berucap pada Seminar Peringkat Tinggi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai Mitigasi Risiko Negara di Negara-negara yang Mempunyai Akses Pasaran di sini pada Selasa, beliau berkata penyatuan fiskal akan mewujudkan ruang fiskal, mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran hutang antarabangsa serta meningkatkan keupayaannya untuk menghadapi cabaran masa depan.