Kuala Lumpur: Perkahwinan antara warganegara asing beragama Islam dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu tidak mengubah keturunan warganegara asing itu kepada keturunan Melayu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau menegaskan keturunan individu berkenaan kekal mengikut asal usul mereka dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan membuat penentuan keturunan bagi warga asing terbabit.
"Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas dalam jawapan bertulis saya di Dewan Rakyat semalam. Namun, terdapat segelintir laporan yang menggunakan tajuk sehingga boleh menimbulkan salah faham dan memberikan gambaran mengelirukan kepada rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.









