Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap Geran Padanan Sukan (GPS) yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 akan membantu badan induk sukan itu dan persatuan sukan lain.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata BAM sebelum ini banyak bergantung pada kerjasama dengan pihak swasta bagi menjayakan pelbagai program, justeru inisiatif GPS berjumlah RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat memberikan sokongan tambahan kepada BAM.

"Saya berharap dengan adanya geran seperti ini, ia dapat membantu persatuan sukan, termasuk BAM kerana kos sekarang semakin tinggi.

"Contohnya, untuk menguruskan BAM hari ini memerlukan kira-kira RM55 juta setahun," katanya ketika ditemui semasa menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV hari ini.