KOTA BHARU: Keganasan rumah tangga bukan hanya membabitkan penderaan suami terhadap isteri, malah boleh berlaku terhadap suami oleh isteri atau ahli keluarga lain.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh, berkata perkara itu perlu dipandang serius kerana keganasan dalam institusi keluarga boleh mengakibatkan kecederaan parah, kematian atau membawa kepada perlakuan jenayah lain sekiranya tidak dibendung.
"Kadangkala, individu yang berdepan tekanan mungkin mencari ruang untuk melepaskan tekanan itu, namun ia tidak sepatutnya dilakukan dengan menggunakan kekerasan terhadap pasangan atau ahli keluarga," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara JKM Negeri Kelantan 2026, di sini hari ini.









