KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 yang bertemakan 'Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi' jelas menzahirkan usaha kerajaan menangani isu kos sara hidup rakyat menerusi peningkatan pendapatan, pengurangan cukai dan bantuan terus kepada isi rumah.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad, berkata belanjawan itu turut memperkasakan ekosistem sokongan rakyat merangkumi aspek pemilikan kediaman, pengangkutan serta sektor kesihatan.

Beliau berkata, intipati pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu itu amat signifikan memandangkan manfaatnya akan dirasai rakyat seawal Januari 2027.