KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan kira-kira 250,000 pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di negara ini menjelang 2030, dengan tumpuan kepada kepelbagaian negara asal pelajar bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pilihan pendidikan tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata ketika ini kira-kira 170,000 pelajar antarabangsa dari 180 negara mengikuti pengajian di Malaysia.
"Apabila ada ramai pelajar dari luar negara dan pelbagai negara, maka Malaysia menjadi destinasi yang baik untuk mereka belajar," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.









