SHAH ALAM – Lelaki yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana dipercayai membawa empat kilogram (kg) syabu dari Malaysia bukan rakyat Malaysia berstatus pelajar universiti seperti yang tular di media sosial.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati lelaki warga Indonesia itu pulang ke negara asal dari Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum ditahan di Terminal Feri Teluk Nibung Tanjung Balai Indonesia pada Sabtu."Polis Resor (Polres) Tanjung Balai, Sumatera Utara selepas pemeriksaan terhadap beg pakaiannya menemukan lapan bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat keseluruhan empat kilogram."Siasatan lanjut mendapati dadah itu diserahkan oleh seorang lagi lelaki warga Indonesia di kawasan Lembah Klang untuk dibawa ke Indonesia melalui Terminal Feri Tanjung Balai," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Menurut Hussein, penularan maklumat di media sosial tempatan yang mendakwa seorang rakyat Malaysia berstatus pelajar universiti ditahan kerana membawa dadah berkenaan boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat."Dakwaan berkenaan tidak benar dan meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan pihak berkuasa," katanya.Katanya, JSJN akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat risikan untuk mengenal pasti sumber bekalan serta membanteras rangkaian sindiket dadah di Malaysia yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah boleh menghubungi talian hotline JSJN di 012-208 7222," ujarnya.