Kuala Lumpur: Dua lelaki ditahan selepas dikejar anggota kereta peronda polis (MPV) dari Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa menghala ke Lebuhraya MRR2, Hulu Kelang berhampiran Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Kedua-dua suspek ditahan ketika berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max berwarna oren, di persimpangan Jalan Jelatek dengan Jalan Taman Setiawangsa, berhampiran stesen minyak Caltex Setiawangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika anggota bertugas di Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, menerima makluman daripada anggota MPV SL 321 yang sedang mengejar kenderaan terbabit.