KUALA LUMPUR: Golongan mahasiswa bukan sekadar pemimpin masa depan, sebaliknya perlu memainkan peranan sebagai pemimpin masa kini menentang budaya rasuah, eksploitasi dan ketidakadilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, malah golongan muda tidak seharusnya hanya dianggap sebagai bakal pemimpin kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk mempengaruhi masyarakat dan memperjuangkan prinsip kebenaran.

“Apabila kita bercakap mengenai pemimpin masa depan, apakah maksudnya? Dalam banyak perkara, anda perlu memimpin sekarang.

“Anda bukan sahaja mewakili masa depan, tetapi juga masa kini. Anda perlu mewakili suara hati masyarakat hari ini yang tidak boleh menerima rasuah, eksploitasi dan ketidakadilan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam dan Perasmian Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.