KUALA LUMPUR: Tiada pelajar akan didakwa hanya kerana menyuarakan pandangan mereka, termasuk mengkritik Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap kepada pelajar tempatan dan antarabangsa, berkata golongan muda perlu menjadi suara hati masyarakat dalam menentang rasuah dan ketidakadilan.

"Tiada sesiapa akan didakwa hanya kerana pandangan dan kritikan mereka, termasuk jika pemimpin pelajar memilih untuk mengkritik Perdana Menteri. Itu bukan satu jenayah.

"Kamu perlu mempertahankan pendirian masing-masing, tetapi mengkritik dasar kerajaan ini bukan satu jenayah," katanya ketika berucap pada acara iFuture 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.