KUALA LUMPUR: Kontrak projek kerajaan termasuk pembinaan sekolah, hospital dan universiti perlu didedahkan secara telus mulai tahun depan bagi membolehkan rakyat mengetahui kos, syarikat yang dilantik serta perkembangan pelaksanaan projek berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, maklumat berkaitan setiap projek perlu merangkumi kos keseluruhan, nilai tanah, kontraktor yang memperoleh kontrak serta kemajuan pembinaan bagi memastikan rakyat dapat menilai sendiri pelaksanaan projek berkenaan.

Katanya, ketelusan itu penting bagi membolehkan orang ramai mengetahui sama ada projek dilaksanakan mengikut perancangan dan tanggungjawab yang ditetapkan, selain menilai prestasi kontraktor yang dilantik.