Kuala Lumpur : Komposer dan penerbit muzik, Julfekar Ahmad Shah menyarankan kerajaan memastikan agihan peruntukan RM130 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkasa industri kreatif disampaikan secara telus dan teliti agar memberi impak kepada penggiat seni tempatan.

Julfekar berkata, kejayaan dana berkenaan bukan sekadar diukur menerusi jumlah peruntukan, sebaliknya sejauh mana manfaatnya sampai kepada pengkarya, penerbit, pemuzik dan tenaga produksi.

"Industri kreatif memerlukan lebih daripada sekadar dana. Kita memerlukan ekosistem yang kukuh, pembangunan bakat jangka panjang serta standard produksi bertaraf antarabangsa.

"Selain itu, strategi pemasaran yang berkesan serta peluang pengkomersialan karya ke pasaran global juga amat penting," katanya kepada Harian Metro.