KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menyambut baik peruntukan lebih RM130 juta bagi sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan menerusi Belanjawan 2027, yang disifatkan sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap penggiat seni tanah air.

Presidennya, Panchacharam Nalliah atau lebih dikenali sebagai Pansha, berkata peruntukan itu menunjukkan peningkatan berbanding belanjawan terdahulu, sekali gus memberi sokongan kepada perkembangan industri kreatif tempatan.

“Walaupun kita memohon peruntukan lebih tinggi, jumlah yang diberikan ini tetap wajar dihargai. PFM berterima kasih atas sokongan berterusan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai pengecualian duti hiburan di Wilayah Persekutuan, Pansha berpandangan insentif berkenaan perlu dikhususkan kepada filem tempatan bagi memastikan penggiat industri perfileman negara mendapat manfaat sewajarnya.