BATU PAHAT - Keluarga pelajar yang maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng meminta orang ramai berhenti menyebarkan dakwaan tidak benar yang mengaitkan mereka dengan keluarga suspek.Sepupu mangsa, Mohamad Fauzi Bujang, 43, berkata, mereka sekeluarga terkejut apabila tular dakwaan kononnya keluarga suspek sudah datang menziarahi keluarga Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, beberapa hari selepas kejadian.Beliau berkata, keluarga yang masih bersedih atas kehilangan Irene Sofiya dan dakwaan tersebut mengguris hati keluarganya."Saya tidak tahu dari mana mereka mendapat berita ini. Saya minta mereka di luar sana agar menghormati ahli keluarga kerana mereka masih dalam kesedihan."Malah, saya terpaksa menegur mereka (warganet) dan bertanya dari mana mereka mendapat berita ini? Sampai saya terpaksa minta bukti mengenai kedatangan keluarga dia (suspek) ke rumah datuk dan nenek Irene."Saya sebenarnya malas hendak melayan mereka ini tapi akhir-akhir ini, perbuatan mereka semakin melampau," katanya ketika dihubungi.Terdahulu, tular hantaran di aplikasi Threads kononnya terdapat video menunjukkan keluarga suspek datang ke kediaman keluarga Irene Sofiya baru-baru ini.Dalam pada itu, Mohamad Fauzi berkata, kediaman keluarga di Kampung Parit Selamat, Yong Peng masih dikunjungi pelbagai pihak termasuk rakan, guru dan jiran yang datang bertanya khabar serta memberikan sokongan kepada keluarga.Jelasnya, mereka sekeluarga sangat terharu dengan sokongan berterusan yang diberikan pelbagai pihak.