KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM60 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada tahun hadapan bagi membina keupayaan syarikat tempatan menembusi dan mempelbagai pasaran luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) pula akan menyediakan pembiayaan berjumlah RM1 bilion bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan menerokai pasaran eksport.
Pada masa yang sama, beliau berkata Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus diperhebat dengan peruntukan RM142 juta untuk membolehkan lebih ramai usahawan muda memanfaat perniagaan dalam talian.
"Kerajaan bersama Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mewujudkan Dana UNIVC berjumlah RM50 juta untuk membawa hasil penyelidikan universiti ke pasaran," katanya.









