KUALA LUMPUR - Belanjawan 2027 perlu membawa perubahan yang benar-benar dirasai anak muda, termasuk kemampuan memenuhi keperluan asas tanpa menambah hutang, membina simpanan dan menjaga kesejahteraan keluarga.Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, bantuan kepada golongan yang terhimpit perlu disertai peluang untuk mereka memperbaiki kehidupan menerusi pekerjaan yang baik, pendapatan mencukupi dan akses kepada perkhidmatan asas."Bagi seorang anak muda yang baru bekerja, persoalan tentang belanjawan bermula dengan baki wang dalam akaun pada hujung bulan."Selepas membayar sewa, membeli makanan, menanggung kos pengangkutan dan membantu keluarga, berapa banyak yang masih boleh disimpan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Ahmad Fahmi berkata, Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober ini juga perlu memastikan bantuan berkala kepada golongan berpendapatan rendah mencukupi dan disalurkan mengikut jadual yang jelas.Katanya, tambahan peruntukan wajar mengutamakan keluarga muda, individu yang kehilangan pekerjaan dan mereka yang mempunyai pendapatan tidak menentu."Belanja makanan, pengangkutan dan bil berulang setiap bulan, bantuan yang dapat dijangka membantu penerima merancang perbelanjaan serta mengurangkan keperluan berhutang," katanya.Beliau berkata, pengukuhan bantuan perlu dilaksanakan seiring usaha membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan anak muda.Menurutnya, kadar pengangguran belia menunjukkan cabaran untuk memasuki pasaran pekerjaan masih perlu diberikan perhatian, khususnya dalam peralihan daripada pendidikan kepada alam pekerjaan."Memperoleh pekerjaan juga belum menjamin peluang untuk maju."Belanjawan perlu memberikan perhatian khusus kepada peralihan daripada pendidikan kepada pekerjaan," katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, insentif kepada majikan bagi latihan dan peningkatan produktiviti perlu membawa manfaat kepada pekerja melalui peningkatan gaji serta kemajuan kerjaya.Jelasnya, program perantisan berbayar juga perlu menjelaskan tempoh latihan, kadar bayaran dan peluang diserap sebagai pekerja supaya belia tidak terus berada dalam pekerjaan sementara tanpa kepastian.Menyentuh isu perumahan dan pengangkutan, Ahmad Fahmi berkata, kedua-dua aspek itu memberi kesan besar terhadap kemampuan anak muda mengurus kewangan.Sehubungan itu, ABIM mencadangkan peluasan rumah sewa yang selamat dan mampu dibayar serta bantuan deposit secara bersasar kepada belia yang perlu berpindah bagi mendapatkan pekerjaan."Ukuran kemampuan mesti merangkumi kos kediaman dan perjalanan kerana sewa yang rendah boleh tetap membebankan jika rumah jauh dari tempat kerja," katanya.Bagi pasangan muda, beliau berkata, kos penjagaan anak pula boleh mengecilkan baki pendapatan keluarga dan mempengaruhi keputusan untuk meneruskan pekerjaan.Justeru, katanya, bantuan yuran bersasar dan peluasan pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar yang berkualiti serta mampu dibayar perlu diberi perhatian.Dalam aspek pendidikan, Ahmad Fahmi berkata, mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan perlu diberikan bantuan sara hidup dan dana kecemasan kampus yang mudah dicapai.Beliau turut menggesa perlindungan sosial golongan bekerja dalam sektor gig dan kerja bebas diperkukuh menerusi kaedah caruman yang mudah dan fleksibel mengikut pendapatan."Bagi usahawan muda, akses pembiayaan perlu disertai peluang pasaran. Pinjaman baharu boleh menambah beban jika pelanggan masih terhad atau bayaran lewat diterima," katanya.Ujarnya, latihan kecerdasan buatan (AI) dan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) pula perlu dirangka berdasarkan keperluan pekerjaan sebenar.Katanya, latihan tidak sepatutnya sekadar memberi sijil, sebaliknya perlu membantu peserta mendapatkan pekerjaan dan meningkatkan kemajuan kerjaya.Selain peluang pekerjaan dan pendapatan, Ahmad Fahmi berkata, aspek kesihatan mental serta sokongan psikososial juga perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027."Beban hutang, tanggungjawab keluarga dan kebimbangan tentang masa depan boleh menjejaskan hubungan serta keupayaan bekerja atau belajar."Bantuan perlu mudah dicapai, dengan kerahsiaan dan maruah terpelihara supaya anak muda memperoleh pertolongan lebih awal tanpa takut dihakimi," katanya.Pada masa sama, beliau berkata, pelaksanaan belanjawan perlu disertai pemantauan terhadap keberkesanan setiap program supaya wang awam digunakan kepada inisiatif yang benar-benar memberi manfaat.Tegasnya, kementerian dan agensi pelaksana perlu menerbitkan laporan berkala mengenai kesan program termasuk penempatan kerja, perubahan pendapatan, kemampuan perumahan, kelangsungan perniagaan dan keberkesanan bantuan."Belanjawan 2027 perlu membawa perubahan yang dapat dirasai, kemampuan memenuhi keperluan asas tanpa hutang baharu, ruang membina simpanan, kesejahteraan keluarga dan bantuan ketika tertekan."Anak muda mesti diberi kepercayaan untuk turut menentukan keputusan dan memikul tanggungjawab bersama," katanya.
'Belanjawan 2027 perlu bawa perubahan yang dapat dirasai' - ABIM
Story details
- Published
- By
- MUHAMMAD AMINNURALIFF MOHD ZOKI
- Format
- Article
- Original
- sinarharian.com.my ↗
Related reporting
6 stories on this topic from 4 sources, oldest first.
- Free Malaysia Today Belanjawan 2027 perlu tangani kekurangan doktor, kata Adun Sabah
- Sinar Harian 'Belanjawan 2027 perlu bawa perubahan yang dapat dirasai' - ABIM (this story)








