KUALA LUMPUR: Kerajaan menawarkan potongan cukai bagi kos penempatan semula yang layak sehingga RM5 juta kepada syarikat vendor automotif milik tempatan sepenuhnya yang memindahkan operasi ke Automotive Hi-Tech Valley (AHTV), Tanjong Malim, Perak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata insentif bagi perbelanjaan mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030 itu bertujuan menggalakkan lebih banyak vendor tempatan beroperasi di hab berkenaan.

"Bagi menggalakkan syarikat vendor automotif milik tempatan sepenuhnya memindahkan operasi ke sana, potongan cukai diberikan ke atas kos penempatan semula yang layak sehingga RM5 juta," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pembangunan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) akan dipergiat bagi menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan menerusi pembangunan hab maritim di Lumut, Perak.