SHAH ALAM: Empat individu cedera, termasuk seorang lelaki parah, dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan termasuk sebuah lori 10 tan di lampu isyarat Alam Budiman, Jalan Mokhtar Dahari, Seksyen U10, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.31 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong ke lokasi kejadian.
Katanya, terdapat mangsa yang tersepit dan mengalami kecederaan di kepala dalam keadaan kritikal.
"Tiga lagi mangsa terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita, dengan seorang lelaki mengalami cedera ringan, seorang lagi cedera di bahagian perut, manakala wanita berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan dilaporkan separa kritikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.








