Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan belia perlu tampil sebagai pemimpin masa kini dan bukan sekadar dianggap pemimpin masa depan, dengan mahasiswa menjadi suara hati nurani masyarakat.
Beliau berkata, golongan muda perlu menerajui wacana semasa serta berani memperjuangkan usaha menentang rasuah, eksploitasi dan ketidakadilan dalam sistem.
"Mengapa kita bercakap mengenai pemimpin masa depan? Apa yang membuatkan anda beranggapan golongan muda bukan pemimpin pada masa ini?" katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE 2026) kali ketiga di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini.
Mengimbau kembali pengalaman sebagai aktivis mahasiswa, Anwar berkata, beliau sering mempersoalkan pandangan generasi terdahulu yang menganggap golongan muda sebagai pemimpin masa depan, sambil menegaskan mahasiswa sebenarnya mewakili masa kini dan juga masa depan.









