KUCHING: Dua lelaki ditahan selepas polis merampas 32.73 kilogram (kg) pil Erimin 5 bernilai RM3.3 juta dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak, berkata kedua-dua suspek berusia 25 dan 39 tahun berasal dari Miri itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di balai ketibaan lapangan terbang berkenaan pada 28 September lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua suspek itu dipercayai mula aktif sejak Ogos lalu dengan mendapatkan bekalan dadah dari Johor Bahru sebelum membawanya ke Kuching menggunakan penerbangan domestik untuk diedarkan di sekitar bandar raya ini.