IPOH - Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya sejak tahun lalu.Tertuduh berusia 44 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang remaja perempuan di bilik tidur sebuah rumah kira-kira jam 8 pagi pada satu tarikh dalam Jun 2025.Perbuatan itu didakwa dilakukan terhadap anak tirinya yang ketika kejadian berusia 15 tahun, sedangkan tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan mangsa sebagai bapa tiri.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 10 kali.Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun dalam bilik di rumah sama kira-kira jam 7 pagi pada 10 September 2026.Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin menawarkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis pada setiap awal bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mangsa kini tinggal bersama bapa kandungnya di Ipoh.Tertuduh yang diwakili Peguam Aliff Aiman Rusli memohon jumlah jaminan lebih rendah sebanyak RM2,000 mengambil kira kemampuan kewangan tertuduh daripada keluarga berpendapatan rendah.Mahkamah diberitahu, selain menanggung isteri, tertuduh turut menyara tiga anak termasuk dua anak tiri dengan pendapatan antara RM50 hingga RM100 sehari.Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan membenarkan semua syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.Mahkamah menetapkan 2 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.