KUALA LUMPUR – Menjadikan warga India yang memasuki negara ini sebagai pelancong dengan bayaran upah sekitar RM1,000 bagi setiap penghantaran antara taktik sindiket pengedaran dadah yang dibongkar menerusi Op Plekoptera pada September lalu.Sindiket yang dipercayai aktif sejak Mac 2026 itu menggunakan khidmat penghantar atau runner dalam kalangan warga India untuk menyeludup dadah yang disembunyikan di dalam beg yang diubah suai.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya melancarkan empat siri serbuan di sekitar Lembah Klang pada 20 September lalu.Menurutnya, operasi berkenaan membawa kepada penahanan lima suspek warga asing berusia antara 21 hingga 43 tahun."Hasil empat serbuan yang dijalankan, kita berjaya merampas dadah jenis amfetamin dengan anggaran berat 38 kilogram (kg) serta bunga ganja seberat 0.038kg."Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM1.92 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat.Beliau berkata, kes berkenaan mempunyai kelainan apabila sindiket terbabit dikesan membawa masuk dadah dari Chennai, India ke Malaysia sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.Katanya, semua suspek yang ditahan dipercayai warga India dan berjaya melepasi pemeriksaan di lapangan terbang di Chennai serta Kuala Lumpur sebelum diberkas di sekitar ibu negara."Siasatan mendapati setiap seorang individu diupah dipercayai dibayar sekitar RM1,000 bagi setiap penghantaran."Mereka datang ke negara ini sebagai pelancong dan sindiket dipercayai menggunakan pelbagai ruang untuk membawa masuk dadah," katanya.Menurutnya, taktik berkenaan menunjukkan sindiket pengedaran dadah terus mengubah modus operandi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.Tambahnya, pihak polis akan terus mempergiat usaha mengesan dan mengambil tindakan terhadap sindiket pengedaran dadah meskipun mereka menggunakan pelbagai laluan untuk menyeludup bahan terlarang itu."Walaupun mereka mengubah taktik, kita masih boleh mengesan kegiatan ini, sama ada menggunakan lapangan terbang, jeti atau laluan lain."Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), sama ada di peringkat Bukit Aman, kontinjen mahupun daerah, akan terus berusaha mengesan sindiket ini dan mengambil tindakan lebih agresif," katanya.Beliau berkata, kesemua suspek telah dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 6 Oktober lalu.