KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan pelancong India sebagai ‘keldai dadah’ dengan menawarkan bayaran sekitar RM1,000 seorang untuk membawa masuk ketamin ke negara ini terbongkar dalam Op Plekoptera, bulan lalu.
Sindiket terbabit dikesan menggunakan beg bagasi yang diubah suai dengan ruang khas bagi menyembunyikan dadah sebelum dibawa menaiki penerbangan dari India ke Malaysia.
Modus operandi itu terbongkar menerusi Op Plekoptera yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selepas lima warga India berusia antara 21 hingga 43 tahun ditahan dalam empat serbuan pada 23 September lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Mac lalu dan menggunakan warga India sebagai kurier untuk membawa masuk dadah ke negara ini.









