am@hmetro.com.my

Teluk Intan: Habuan RM500 dipercayai ditawarkan kepada individu yang sanggup menjadi 'keldai akaun' dengan menyerahkan butiran diri, termasuk maklumat pasport Malaysia, untuk membuka akaun platform pembayaran digital Alipay.

Modus operandi itu dikesan polis susulan kejayaan menumpaskan satu sindiket yang dipercayai memproses pembukaan akaun Alipay bagi menerima dan memindahkan wang hasil penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan warga China.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidi, berkata 13 suspek berusia antara 20 hingga 44 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Teluk Intan, Isnin lalu.

Katanya, operasi berkenaan dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dengan serbuan pertama dilakukan di sebuah restoran kira-kira jam 8.30 malam.