TELUK INTAN: Habuan RM500 dipercayai ditawarkan kepada individu yang sanggup menjadi 'keldai akaun' dengan menyerahkan butiran diri, termasuk maklumat pasport Malaysia, untuk membuka akaun platform pembayaran digital Alipay.

Modus operandi itu dikesan polis selepas menumpaskan satu sindiket yang dipercayai memproses pembukaan akaun Alipay bagi menerima dan memindahkan wang hasil penipuan perjudian dalam talian yang menyasar warga China.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidi, berkata 13 suspek berusia antara 20 hingga 44 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Teluk Intan.

Katanya, operasi itu dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Daerah Hilir Perak dengan serbuan pertama terhadap sebuah restoran kira-kira jam 8.30 malam Isnin lalu.