PUTRAJAYA: Penutupan sekolah susulan jerebu di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini memberi peluang kepada ibu bapa untuk membawa pulang anak masing-masing yang tinggal di asrama sekolah.

Ia susulan arahan penutupan sekolah oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) hari ini akibat jerebu teruk melanda Putrajaya sejak seminggu lalu.

Tinjauan di salah sebuah sekolah di sini mendapati, ibu bapa dilihat mula memasuki sekolah kira-kira pukul 7 pagi tadi bagi membawa pulang anak masing-masing.

Difahamkan, kesempatan itu turut diambil sempena cuti hujung minggu selain menunggu arahan seterusnya daripada pihak sekolah dan JPWPP serta KPM.

Bagaimanapun, setakat ini, murid masih belum dimaklumkan mengenai perkembangan seterusnya berhubung sesi persekolahan mereka minggu hadapan.