YANGON: Hampir 1,500 rakyat Myanmar yang dihantar pulang dari Malaysia menaiki kapal tentera laut dijangka tiba di Yangon, hab komersial negara bergolak itu, dalam tempoh beberapa hari, lapor media kerajaan.

Penghantaran pulang itu dibuat walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi memberi amaran bahawa mereka yang dihantar pulang mungkin berdepan risiko susulan konflik sivil yang berterusan di Myanmar.

Tiga kapal tentera laut Myanmar membawa 1,476 rakyat negara itu memasuki perairan Myanmar pada Khamis, lapor akhbar Global New Light of Myanmar.

Mereka dihantar pulang dari pusat tahanan imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman kerana tinggal di negara ini secara tidak sah dan melanggar peraturan imigresen.