YANGON: Hampir 1,500 warga Myanmar yang dihantar pulang dari Malaysia menaiki kapal tentera laut dijangka tiba di Yangon dalam tempoh beberapa hari.
Menurut akhbar Global New Light of Myanmar semalam, tiga kapal tentera laut membawa 1,476 warga Myanmar memasuki perairan negara itu pada 1 Oktober.
Penghantaran pulang itu dilakukan meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi memberi amaran mereka mungkin berdepan risiko susulan konflik bersenjata yang masih berterusan di Myanmar.
Kesemua warga Myanmar itu dihantar pulang dari pusat tahanan imigresen di Malaysia selepas menjalani hukuman kerana tinggal secara tidak sah dan melanggar peraturan imigresen.
PBB berkata keadaan di Myanmar ketika ini tidak menyokong kepulangan pelarian secara selamat dan mampan, meskipun Malaysia menegaskan proses penghantaran pulang itu dilakukan secara sukarela.








