IPOH: Seorang bekas perunding unit amanah dan perunding Skim Persaraan Swasta (PRS) didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas dua pertuduhan berkaitan aktiviti pasaran modal tanpa lesen.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini, Henry Tan Soong Yan, 35, didakwa atas pertuduhan pertama mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana mengemukakan dirinya sebagai menjalankan perniagaan urus niaga sekuriti tanpa lesen.

Dia turut berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 59(1) akta sama kerana mengemukakan dirinya sebagai wakil Public Bank Berhad dalam urus niaga sekuriti tanpa lesen.

Menurut SC, kesalahan mengikut Seksyen 59(1) itu didakwa dilakukan antara Januari dan September 2021, manakala kesalahan mengikut Seksyen 58(1) pada Februari 2022, dengan kedua-duanya dilakukan di Ipoh.