SHAH ALAM - Sistem pembayaran tol terbuka berasaskan Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR), JustGO merekodkan lebih tiga juta transaksi dalam keadaan trafik sebenar, sekali gus menjadi langkah praktikal ke arah pelaksanaan penuh sistem Multi-Lane Fast Flow (MLFF) di Malaysia.JustGO Solutions Sdn Bhd berkata, sistem berkenaan kini tersedia di 93 plaza tol melibatkan 966 lorong, membolehkan pengguna berdaftar memilih mana-mana lorong di plaza tol yang menyokong perkhidmatan itu."JustGO menggunakan teknologi ANPR untuk membaca nombor pendaftaran kenderaan yang berdaftar dan membolehkan tol dibayar melalui kad debit atau kredit yang telah dipautkan."Pengguna tidak perlu menyentuh kad, menambah nilai baki berasingan atau memasang peranti dalam kenderaan. Pendaftaran adalah percuma dan kadar tol biasa dikenakan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Mengulas lanjut, JustGO memaklumkan, sistem pembayaran terbuka ini menyokong kad debit dan kredit, manakala pembayaran terus daripada akaun bank serta melalui e-dompet akan diperkenalkan secara berperingkat.Menurut syarikat itu, langkah seterusnya adalah memperluas JustGO kepada lebih banyak lebuh raya berdasarkan pengalaman mengendalikan sistem berkenaan walau dalam keadaan trafik sebenar."Penyertaan lebih banyak lebuh raya dalam platform sama akan membolehkan pengguna menikmati pengalaman pembayaran tol yang lebih lancar merentas rangkaian."Langkah itu sekali gus akan mengukuhkan kesalingoperasian sebagai persediaan ke arah pelaksanaan MLFF," katanya.Pengguna yang ingin menikmati kemudahan berkenaan perlu memuat turun aplikasi JustGO menerusi Apple App Store, Google Play atau Huawei AppGallery sebelum melengkapkan pengesahan identiti, pendaftaran kenderaan dan pemautan kaedah pembayaran.Pembayaran tol menggunakan JustGO boleh dilakukan selepas status ANPR kenderaan dipaparkan sebagai ‘Aktif’ dalam aplikasi.