KUALA LUMPUR: Hampir 8.4 juta penerima Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menggunakan MyKad untuk membeli keperluan asas, dengan kadar penggunaan mencapai 99.7 peratus dan nilai transaksi mencecah RM5.2 bilion sehingga 20 September lalu.

Kementerian Kewangan berkata, sembilan negeri mencatatkan kadar penggunaan 100 peratus iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak, Terengganu, Perak, Pahang dan Labuan.

Menurut kementerian itu, kadar penggunaan terendah direkodkan di Putrajaya iaitu 94 peratus, diikuti Johor dengan 95 peratus.

"Bagi SARA Untuk Semua pula, lebih 20 juta rakyat sudah membuat perbelanjaan iaitu 90 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima dengan nilai transaksi di pasaran tempatan hampir RM1.9 bilion," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.