Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menurunkan ambang penutupan institusi pendidikan di bawah bidang kuasanya susulan keadaan jerebu yang semakin buruk di beberapa kawasan.

Mulai esok, Jumaat, semua institusi pendidikan di bawah KPM di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 — atau melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut — hendaklah ditutup bagi melindungi keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan.

Pengumuman kementerian itu dibuat beberapa jam selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa supaya kesihatan dan keselamatan murid diutamakan apabila bacaan IPU berada antara 150 hingga 180.

Paras ambang baharu itu lebih rendah berbanding paras IPU 200 yang digunakan ketika ini untuk menutup sekolah.