KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 180, akan ditutup mulai esok.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata penutupan itu susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, supaya keselamatan serta kesihatan murid dan warga pendidikan diberi keutamaan susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
"Institusi pendidikan di kawasan yang mencatat bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut pula akan ditutup bermula Isnin depan.
"Sekolah serta institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas itu dikehendaki melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.









