SHAH ALAM: Semua sekolah dan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Selangor diarahkan tutup, bermula esok, susulan keadaan jerebu ketika ini.
Pengarah Pendidikan Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim, berkata penutupan sepenuhnya itu akan berterusan hingga dimaklumkan oleh jabatannya kelak.
Beliau berkata, arahan itu selaras kenyataan KPM hari ini yang menekankan keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan.
"Sehubungan itu, sekolah hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.
"Guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) akan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan itu, tertakluk kepada arahan serta keperluan semasa.









