PUTRAJAYA: Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya, ditutup esok, susulan keadaan jerebu yang melanda negara.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) memaklumkan bahawa penutupan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di stesen pemantauan, setakat jam 5 petang tadi.

"Institusi pendidikan yang terjejas hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.

"Ia hendaklah mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Menurut JPWPP, guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan itu, berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan.