KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM100,000, dua tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Lee Lun Teong, 44, selepas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai pengarah syarikat Menarez Development Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang syarikat tersebut berjumlah RM101,679.98 dengan memindahkannya daripada akaun bank syarikat itu kepada akaun bank peribadinya.

Pemindahan wang berkenaan didakwa dilakukan atas alasan ‘Director Fee’, sedangkan tiada bayaran sedemikian patut dibuat kepada tertuduh.